CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday 23 May 2008

AL-FUTUR

(Kupasan daripada buku "Wabak Sepanjang Jalan" karangan Dr Al Syed Muhammad Noh)

Pengenalan

Sudah menjadi sunnah dalam perjuangan menegakkan agama Allah pastinya dihadangi oleh pelbagai jenis rintangan. Selain daripada tekanan oleh pihak musuh, gerakan Islam juga berhadapan dengan masalah dalaman yang sentiasa mengganggu-gugat perjalanan gerakan Islam itu sendiri. Masalah dalaman ini berpunca daripada sikap para anggotanya yang tidak komited dalam perjuangan di samping gagal mempersiapkan diri mereka sesuai sebagai seorang pendukung Islam. Sikap inilah yang telah menghalang gerakan Islam untuk mencapai matlamat perjuangan mengikut agenda dan perancangan. Di antara sikap yang merupakan wabak atau penyakit yang menyerang para amilin gerakan Islam ialah penyakit al-futur.

Definisi Al-Futur

Dari segi bahasa :

1.Terputus atau terhenti sesudah berjalan atau diam sesudah bergerak.

2. Malas; menangguh-nangguh; melengah-lengah sesusah bergerak aktif dan bersungguh-sungguh.

Dari segi istilah :

Al-futur merupakan penyakit yang mungkin menimpa sebahagian daripada para petugas gerakan Islam, bahkan ada petugas yang sudah pun ditimpa penyakit ini. Tahap al-futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah terhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.

Sebab-sebab Berlakunya Al-Futur

1. Sikap keterlaluan (tasydid) dan berlebih-lebihan dalam agama (sehingga membebankan diri atau mengabaikan sebahagian tuntutan diri yang lain. Contohnya, seorang lelaki yang tidak mahu berkahwin dan bekerja hanya kerana ingin melakukan ibadat khusus semata-mata).


2. Membazir dan melampaui batasan dalam menggunakan sesuatu yang diharuskan (contohnya, makan terlalu banyak).


3. Mufaraqah (meninggalkan) jamaah dan memilih hidup beruzlah dan berseorangan.


4. Kurang mengingati mati dan Hari Akhirat.


5. Pengabaian atau cuai dalam melaksanakan ibadat harian.


6. Mengambil makanan yang haram atau syubhah.


7. Penumpuan amilin ke atas sudut tertentu sahaja dari ajaran Islam.


8. Gagal memahami sunnatullah tentang alam dan penghidupan.


9. Mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggungjawab di samping kekurangan tenaga amilin.


10. Tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan.


11. Mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar.


12. Sambil lewa menjalankan tugas sama ada di peringkat individu atau di peringkat jamaah.


13. Terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat terutamanya melakukan dosa kecil serta memandangnya sebagai remeh.

Kesan Al-Futur

Kesan ke atas amilin :


Kurang perhatian dan tumpuan mereka untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Kesan ke atas gerakan Islam :

- Gerakan Islam terpaksa menempuh jalan yang panjang dan sukar, juga bebanan yang berat dan pengorbanan yang banyak kerana Allah hanya memberikan kemenangan kepada mereka yang benar-benar istiqamah dan berjuang bersunguh-sungguh di jalan Allah.

Mengubati Al-Futur

1. Menjauhkan diri daripada melakukan maksiat sama ada yang besar mahu pun yang kecil.


2. Berterusan melakukan ibadat harian.


3. Mengintai (mencari kesempatan) waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadat.


4. Membebaskan diri daripada keterlaluan dalam agama.


5. Meletakkan diri dalam dakapan jamaah.


6. Memberi perhatian kepada sunnatullah yang wujud pada manusia dan alam seluruhnya.


7. Bersedia untuk berhadapan dengan halangan.


8. Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam pekerjaan.


9. Sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh yang berjihad di kalangan hamba-hamba Allah.


10. Memberi hak kepada tubuh badan.


11. Menghiburkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang harus.


12. Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku Sirah An-Nabawiyyah, sejarah dan biografi pejuang-pejuang di jalan Allah.


13. Seniasa mengingati mati dan soal kubur.


14. Sentiasa mengingati syurga dan neraka.


15. Sentiasa menghadiri majlis ilmu.


16. Menerima Islam secara keseluruhan.


17. Melakukan muhasabah ke atas diri dan mengkaji setiap masa.

Saturday 17 May 2008

Hari Guru

Dipetik dari HarakahDaily (16 Mei 2008)

Sempena Hari Guru - Penghormatan kepada guru - Antara kebenaran dan kepalsuan

Zainudin Hashim
Fri | May 16, 08 | 11:06:38 am MYT

Guru merupakan insan mulia kerana menurunkan ilmu kepada anak-anak muridnya dengan sepenuh hati, walau bagaimanapun keberkesanan penyampaian ilmu bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan niatnya yang baik.

Islam sentiasa memberi panduan kepada para guru agar memperkasa dan memperbaiki diri agar menjadi golongan pendidik yang betul-betul memenuhi tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah yang bermaksud : Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan (di kalangan umat Islam) di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya (masyarakat) apabila mereka telah kembali kempangkuan mereka, supaya mereka (masyarakat) itu lebih berwaspada.

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menekankan dua perkara utama kepada golongan guru (yang menunutut ilmu) bagi mencapai keberkesanan penggarapan ilmu yang dipelajari:

  1. Arahan Allah untuk memperdalami dan bukannya kekadar belajar.
  2. Arahan Allah selepas proses penggarapan ilmu, menyedarkan masyarakatnya dengan memberi peringatan dan bukannya mengajar.

Kedua-dua konsep itulah yang meletakkan seseorang yang menuntut ilmu itu mencapai status pendidik iaitu satu kedudukan yang lebih tinggi daripada seorang guru.

Ini kerana, pendidik bukan sekadar mengajar atau mencurahan ilmu kepada pelajarnya, malah memastikan para pelajarnya benar-benar mempraktikkan segala ilmu yang digarap, di tambah pula peranan pendidik mampu menjiwai permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya serta mengadakan program susulan jangka panjang (long term follow up planning).

Berbeza dengan tugas seorang guru, kerana ada di antara mereka hanya sekadar mengajar dan mungkin juga tidak mempedulikan aspek program susulan, baginya yang penting mereka telah menyampaikan ilmu, tetapi sebenarnya keberkesanan sesuatu ilmu itu bergantung kepada lima perkara untuk mencapai status pendidik yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya seperti yang pernah dilontarkan persoalan ini oleh Syeikh Prof dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang bertajuk "Rasul dan ilmu pengetahuan".

Di mana beliau ada menegaskan, bahawa apabila seorang pendidik itu mampu merealisasikan lima perkara berikut, nescaya dia melonjakkan kedudukan sebagai pendidik atau pewaris nabi-nabi, lima perkara itu adalah seperti berikut :

  1. Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.
  2. Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, dia akan mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, bukan sebaliknya, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.
  3. Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam yang dicerobohi oleh tangan-tangan pengkhianat dan perosak Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.
  4. Ada perasaan tawadu' (rendah diri) terhadap orang lain.
  5. Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu.

Sehubungan itu baginda Rasulullah s.a.w ada bertanya kepada Malaikat Jibril, berhubung siapakah golongan pendidik (ahli ilmu sebenar)?, Jibril menjawab : Sesungguhnya mereka ibarat pelana umatmu di dunia dan akhirat, beruntunglah mereka yang mengenali dan menghormati mereka dan nerakalah bagi mereka yang membenci serta menyanggah mereka (ahli ilmu/pendidik).


Konsep penghormatan kepada golongan pendidik

Jelas daripada hadis di atas, baginda telah menggariskan satu tindakan yang berkesan bagi meletakkan penghormatan sewajarnya kepada mereka.

Pengamalan dalam masyarakat umat Islam dalam negara kita yang berpaksikan nilai-nilai penghormatan terhadap golongan pendidik/guru adalah dijelmakan oleh fahaman barat, iaitu mereka diberikan hadiah tertentu walaupun pada masa yang sama para pelajar sebenarnya tidak bersetuju atau mengkritik guru-guru mereka atau mungkin juga berlaku biadap terhadap mereka, tindakan ini disifatkan menyalahi tuntutan ayat di atas yang sepatutnya mereka (pelajar) mendapat peringatan agar tidak meniru-niri gaya hidup masyarakat barat dan sebagainya.

Tetapi bagi menutup kesalahan dan kelemahan mereka, para pendidik/guru diraikan pada satu hari yang dikenali dengan 'hari guru', pelajar yang tidak menerima nasihat pun menghulurkan hadiah kerana inilah peluang bagi menyekat kemarahan atau kebencian guru terhadap mereka, pelajar yang datang dari keluarga berada walaupun tidak memiliki akhlak yang baik, mampu mengadiahkan gurunya pelbagai bentuk hadiah yang menarik, ini menyebabkan gurunya bias terhadapnya, rasa nak marah pun hilang dari mindanya.

Sedangkan pelajar yang benar-benar menepati ayat di atas tetapi kerana kemiskinan serta tidak mampu untuk menghadiahkan gurunya sebarang bentuk hadiah, dipinggirkan daripada minda dan sanubari guru, persoalannya di sini hadiah yang diterima oleh guru boleh disifatkan satu bentuk rasuah cara moden.

Inilah kejayaan musuh Islam bagi merenggangkan golongan pendidik/guru dengan para pelajarnya yang dihormati hanya pada satu hari iaitu "hari guru", sedangkan pada hari-hari yang lain mereka sudah tidak dihormati apatah lagi untuk melaksanakan arahan mereka untuk menjadi individu cemerlang, akibatnya mereka tidak sanggup untuk menegur atau memberi nasihat kepada para pelajar kerana disebaban hadiah yang diterima.

Akhirnya institusi pendidikan di kalangan umat Islam tidak mampu melahirkan individu-individu seperti Imam hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, al-Ghazali, Ibnu Sina dan ramai lagi.

Marilah kita sama-sama kembalikan maruah golongan pendidik/guru/ahli ilmu dengan menghormati mereka dengan bentuk yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu mendengar nasihat mereka, mengenali serta melaksanakan segala ajaran mereka dan bukannya membenci mereka apatah lagi menyanggah mereka dengan tindakan yang tidak sepatutnya.

Thursday 15 May 2008

10 Muwasafat Daie

1. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

· Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.

· Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.

· Pesanan al-Banna:

· Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.

2. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

· Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

· Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.

3.Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

· Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.

· Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.

· Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.

· Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

· Walaupun kaya, perlu bekerja.

· Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.

· Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.

· Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).

· Menjauhi riba dalam semua lapangan.

· Menyimpan untuk waktu kesempitan.

· Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.

· Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

5. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

· Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.

· Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.

· Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

6. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

· Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.

· Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.

· Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

· Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.

· Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.

· Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

· Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.

· Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

· ..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.

9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

· Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.

· Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10. Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

· Dai umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.

· Dai adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.

· Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.

· Dai merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.