CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, 6 February 2008

Bersama Dr Haron: Menukar hukum Allah SWT kesalahan besar

oleh Dato' Dr Harun Din (dipetik dari Harakah Daily 6/2/08)

SOALAN: Ada ulama mengatakan bahawa pemerintah Islam hari ini, dibolehkan memilih undang-undang selain undang-undang Allah dan menggantikannya dengan undang-undang ciptaan manusia kerana perubahan zaman, boleh membawa perubahan hukum berdasarkan kepada kaedah ilmu fikah yang berbunyi antara lain bahawa 'hukum Islam berubah mengikut perubahan tempat dan masa'. Betulkah pandangan ulama itu? Adakah kaedah fikah tersebut terpakai? Mohon Dato' jelaskan. - MOHD FIRDAUS AHMAD, Bandar Country Homes, Rawang



JAWAPAN: Permasalahan anda kemukakan ini besar yang melibatkan hukum-hukum Allah.

Saya ingin mengingatkan, jangan sampai kita mempermain-mainkan hukum Allah dengan memberi alasan remeh bagi membolehkan manusia menggunakan alasan agama untuk menolak hukum agama.

Hukum Allah SWT ada dua cabang yang terbesar. Pertamanya, hukum-hukum qat'ie dan keduanya, hukum-hukum yang tidak qat'ie.

Yang qat'ie bermaksud hukum-hukum tetap yang tidak berubah. Yang tidak qat'ie adalah hukum tidak 'rigid' dan boleh berubah.

Yang tidak berubah sabit seperti hukum-hukum kesalahan jenayah dan hudud. Sedangkan hukum-hukum yang sabit dengan ijtihad, ia boleh berubah.

Hukum-hukum haram halal sesuatu pemakanan yang sabit dengan ayat-ayat yang muhkamat, demikian juga dalam minuman serta dalam haram halal bergaul dengan perempuan.

Yang diharamkan dalam perkahwinan seperti yang disebutkan muhramat, yang diharamkan berkahwin selama-lamanya.

Begitu juga haram memakan babi, bangkai, darah, meminum arak dan yang seumpama dengannya, hukum haramnya kekal sampai sehingga bila-bila.

Sebenarnya tidak ada pilihan. Allah juga tidak pernah memberi pilihan dalam melaksanakan hukum-hukum qat'ie, seperti haramnya riba, mencuri atau merompak, berzina dan sebagainya sudah sabit pengharaman dalam al-Quran.

Hukumnya sabit, maka ia tidak lagi menjadi pilihan.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan tidak harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu perkara, tidak harus mereka membuat pilihan sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Daripada ayat ini dan hadis-hadis Nabi yang sahih, jelas menunjukkan bahawa hukum-hukum Allah tidak boleh dipermain-mainkan.

Adapun kaedah yang disebutkan itu, memang ia suatu kaedah fikah yang termasuk dalam istilah al-qawa'id al-fiqhiyyah.

Kaedah seperti ini tidak boleh dilaksanakan kepada kesemua hukum. Ia dibuat oleh ulama terdahulu, bagi mengkhususkan kepada perkara-perkara penggunaan akal yang disebut sebagai ijtihad.

Ijtihad bererti, ulama mengeluarkan hukum-hukum baru yang diasaskan kepada nas-nas syarak berdasarkan kepada i'llah dan sebab-sebab khusus yang membolehkan hukum baru dikeluarkan.

Hukum-hukum ini adalah hukum akal. Akal manusia berbeza. Seperti berbezanya hukum-hukum ijtihad pada perkara-perkara furui'yyat (perkara cabang) dalam hukum fikah.

Perkara cabang inilah yang memungkinkan ijtihad dan berlaku perubahannya yang mengikuti perubahan zaman.

Namun demikian, bukan kesemua hukum ijtihad boleh berubah mengikut perubahan zaman atau mengikut selera manusia.

Jika ijtihad bertentang dengan hukum asal yang qat'ie dalam al-Quranul Karim, maka ijtihad tersebut tidak boleh dipakai.

Seperti kaedah lain yang disebutkan, ijtihad tidak boleh menyalahi hukum syarak.

Sepatutnya para ulama mencari jalan untuk memudah atau membolehkan hukum Allah dilaksanakan. Bukan mencari justifikasi untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut.

Antara sebab bagi manusia hari ini menolak hukum Allah SWT, adalah kerana ingin mempertahankan status-quo yang ada.

Jangan sesekali menyokong pemerintah, dengan tidak memberi perhatian serius daripada akibat penolakan hukum-hukum Allah SWT.

Oleh sebab itu, menukar hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia adalah kesalahan yang amat besar.

Perhalusilah sebaik-baiknya sebarang tindakan kita, bagi mengelak kerugian besar di akhirat nanti. Wallahua'lam.

Tafsir al-Maidah ayat 79: Cegah mungkar dengan kekuasaan


Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang disebut oleh Ibnu Majah di dalam kitabnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Suruhlah kamu kepada yang baik dan cegahlah kamu daripada kemungkaran, sebelum berlaku bahawa kamu berdoa, tetapi tidak diperkenankan kepada kamu."

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman."

Seseorang itu jika melihat kemungkaran berlaku di hadapan matanya, sekiranya boleh diubah dengan tangan, makan gunakanlah ia, jika berkuasa berbuat demikian.

Sebagai contoh sekiranya benda itu layak dibakar api atau dihancurkan, maka benda itu perlulah dilakukan demikian selepas ditegur dengan lidah, kemungkaran itu tetap tidak berubah dengan syarat jangan membawa fitnah yang lebih besar.

Yakni sekiranya cegahan dibuat dengan tangan, berlaku tindakan yang lebih besar fitnahnya maka ia adalah dilarang kerana kita hendaklah mengelak fitnah yang lebih besar.

Ertinya jika menggunakan tangan, kemungkaran itu berhenti, maka adalah wajar cegahan dengan tangan digunakan.

Sesetengah ulama mengatakan bahawa yang mempunyai kemampuan itu adalah kerajaan. Dia berupaya menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran dengan tindakan undang-undang.

Jangan pula berlaku kerajaaan sendiri memberi lesen untuk membenarkan orang ramai melakukan maksiat atau kemungkaran dengan meluluskan lesen judi, arak dan seumpamanya.

Kerajaan memberi alasan kononnya tindakan tersebut bertujuan mengawal kegiatan maksiat di kalangan rakyat. Jika demikian kenapa lesen mencuri tidak diberikan kepada pencuri dan perompak untuk mengawal berlakunya kecurian dan rompakan?

Bukan bererti mengawal sesuatu kegiatan itu dengan memberi lesen kepada sesuatu organisasi atau indivisu tetapi mengawal juga boleh berlaku dengan menyediakan tempat atau sebaliknya.

Jika diambil contoh untuk mengawal supaya orang ramai tidak buang air merata justeru disediakan tandas, bukan bererti untuk mengawal kecurian dan rompakan disediakan pula tempat untuk aktiviti jenayah berkenaan.

Ini kaedah yang tidak boleh dipakai dari segi undang-undang dan akal fikiran yang waras. Bukan semua kaedah boleh dipakai dalam semua perkara kerana kaedah penyelesaiannya berlainan antara satu perkara dengan satu perkara lain.

Misalnya, untuk menimbang emas dan getah mestilah memakai dacing berbeza bukan hanya dengan menggunakan satu dacing sahaja.

Ertinya pemerintah mesti mencegah kemungkaran, iaitu mengenakan tindakan undang-undang mengikut hukum Islam terhadap segala kesalahan jenayah dan maksiat kerana inilah maknanya mengubah dengan tangan.

Dan antara orang yang mampu mengubah dengan tangan juga adalah ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka melakukan kemungkaran termasuk tidak mengerjakan solat maka menjadi tanggungjawab ibu bapa menggunakan kuasa yang ada pada mereka termasuk menggunakan tangan bagi mengubah perbuatan mungkar yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun. Pukullah mereka bila umurnya 10 tahun (jika tidak mengerjakan sembahyang)."

Begitulah juga dalam perkara yang lain. Apabila seseorang anak itu mencapai umur 10 tahun, maka diizinkan mengenakan tindakan memukul ketika melakukan kesalahan yang bercanggah dengan hukum agama.

Pukulan yang dibuat ialah pukulan mendidik, bukan pukulan marah dan geram yang mencederakan tubuh badan anak berkenaan.

Dipetik dari Harakah Daily (6/2/08)
Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang