CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, 23 May 2008

AL-FUTUR

(Kupasan daripada buku "Wabak Sepanjang Jalan" karangan Dr Al Syed Muhammad Noh)

Pengenalan

Sudah menjadi sunnah dalam perjuangan menegakkan agama Allah pastinya dihadangi oleh pelbagai jenis rintangan. Selain daripada tekanan oleh pihak musuh, gerakan Islam juga berhadapan dengan masalah dalaman yang sentiasa mengganggu-gugat perjalanan gerakan Islam itu sendiri. Masalah dalaman ini berpunca daripada sikap para anggotanya yang tidak komited dalam perjuangan di samping gagal mempersiapkan diri mereka sesuai sebagai seorang pendukung Islam. Sikap inilah yang telah menghalang gerakan Islam untuk mencapai matlamat perjuangan mengikut agenda dan perancangan. Di antara sikap yang merupakan wabak atau penyakit yang menyerang para amilin gerakan Islam ialah penyakit al-futur.

Definisi Al-Futur

Dari segi bahasa :

1.Terputus atau terhenti sesudah berjalan atau diam sesudah bergerak.

2. Malas; menangguh-nangguh; melengah-lengah sesusah bergerak aktif dan bersungguh-sungguh.

Dari segi istilah :

Al-futur merupakan penyakit yang mungkin menimpa sebahagian daripada para petugas gerakan Islam, bahkan ada petugas yang sudah pun ditimpa penyakit ini. Tahap al-futur yang paling rendah ialah malas, menangguh-nangguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi ialah terhenti terus atau diam sesudah bergerak cergas secara berterusan.

Sebab-sebab Berlakunya Al-Futur

1. Sikap keterlaluan (tasydid) dan berlebih-lebihan dalam agama (sehingga membebankan diri atau mengabaikan sebahagian tuntutan diri yang lain. Contohnya, seorang lelaki yang tidak mahu berkahwin dan bekerja hanya kerana ingin melakukan ibadat khusus semata-mata).


2. Membazir dan melampaui batasan dalam menggunakan sesuatu yang diharuskan (contohnya, makan terlalu banyak).


3. Mufaraqah (meninggalkan) jamaah dan memilih hidup beruzlah dan berseorangan.


4. Kurang mengingati mati dan Hari Akhirat.


5. Pengabaian atau cuai dalam melaksanakan ibadat harian.


6. Mengambil makanan yang haram atau syubhah.


7. Penumpuan amilin ke atas sudut tertentu sahaja dari ajaran Islam.


8. Gagal memahami sunnatullah tentang alam dan penghidupan.


9. Mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggungjawab di samping kekurangan tenaga amilin.


10. Tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan.


11. Mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar.


12. Sambil lewa menjalankan tugas sama ada di peringkat individu atau di peringkat jamaah.


13. Terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat terutamanya melakukan dosa kecil serta memandangnya sebagai remeh.

Kesan Al-Futur

Kesan ke atas amilin :


Kurang perhatian dan tumpuan mereka untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Kesan ke atas gerakan Islam :

- Gerakan Islam terpaksa menempuh jalan yang panjang dan sukar, juga bebanan yang berat dan pengorbanan yang banyak kerana Allah hanya memberikan kemenangan kepada mereka yang benar-benar istiqamah dan berjuang bersunguh-sungguh di jalan Allah.

Mengubati Al-Futur

1. Menjauhkan diri daripada melakukan maksiat sama ada yang besar mahu pun yang kecil.


2. Berterusan melakukan ibadat harian.


3. Mengintai (mencari kesempatan) waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadat.


4. Membebaskan diri daripada keterlaluan dalam agama.


5. Meletakkan diri dalam dakapan jamaah.


6. Memberi perhatian kepada sunnatullah yang wujud pada manusia dan alam seluruhnya.


7. Bersedia untuk berhadapan dengan halangan.


8. Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam pekerjaan.


9. Sentiasa mendampingi orang-orang yang soleh yang berjihad di kalangan hamba-hamba Allah.


10. Memberi hak kepada tubuh badan.


11. Menghiburkan diri dengan melakukan perkara-perkara yang harus.


12. Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku Sirah An-Nabawiyyah, sejarah dan biografi pejuang-pejuang di jalan Allah.


13. Seniasa mengingati mati dan soal kubur.


14. Sentiasa mengingati syurga dan neraka.


15. Sentiasa menghadiri majlis ilmu.


16. Menerima Islam secara keseluruhan.


17. Melakukan muhasabah ke atas diri dan mengkaji setiap masa.

0 comments: