CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, 21 March 2009

Berakhirnya

MALAM INSPIRASI SENI 2009 (FINAL) & MAJLIS PENUTUPAN “HEART FOR ISLAM” 2009

Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga komiti kempen “Heart for Islam” (h4i) 2009 di atas segala usaha serta komitmen mereka untuk menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang kempen ini. Setelah bertungkus lumus merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang bertujuan menyampaikan mesej Islam kepada seluruh warga kampus serta masyarakat setempat bermula dari tarikh 3 Februari 2009, akhirnya kempen h4i 2009 akhirnya melabuhkan tirainya dengan berlangsungnya Majlis Penutupan Kempen “Heart for Islam” 2009 dan Final Malam Inspirasi Seni (MIS) 2009 di Dewan Cansellor, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Majlis tersebut dengan jayanya telah berlangsung pada 14 Mac 2009 baru-baru ini telah dirasmikan oleh Dr Shark dari UTP dan dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat wakil-wakil dari sponsor-sponsor iaitu, Encik Abdul Jalil …(Pengurus Cawangan Ipoh PERODUA), En. Jafri (HPA Industries), wakil sponsor(Nurfairshop.com) dan kumpulan Inteam. Pada malam bersejarah itu juga, majlis turut dihadiri oleh pelajar-pelajar lokal dan luar negara UTP yang ingin menyaksikan persembahan finalis-finalis Malam Inspirasi Seni 2009 yang telah bertungkus-lumus di peringkat saringan sebelum ke peringkat akhir ini.

Empat finalis yang mara ke peringkat akhir ialah kumpulan Mujahideen,kumpulan Read-One, kumpulan In-Saff dan kumpulan Shababul Islam yang telah menampilkan pelbagai nasyid yang bertemakan ketuhanan serta maulid Nabi. Persembahan-persembahan mereka yang menarik dan bertenaga telah diadli oleh tiga juri yang cukup berpengalaman iaitu Encik Fuadiriza bin Mustafa, staff UTP bahagian ko-kurikulum yang menghakimi bahagian persembahan peserta, Saudara Muhammad Hazamin Harun dari kumpulan Inteam yang menjadi juri bahagian vocal dan Saudara Syahril bin Abdul Khalid juga dari kumpulan Inteam sebagai juri bahagian lagu dan percussion.

Setiap kumpulan diberikan masa 12 minit untuk mempersembahkan dua buah nasyid yang memenuhi dua tema yang telah ditetapkan oleh komiti Malam Inspirasi Seni 2009. Para penonton dihiburkan oleh kumpulan In-Saff dengan lagu “Rindu” dan lagu “Ya Habbi Ya Muhammad”. Lagu “Salamun salam” dan “Syukur” pula telah dialunkan oleh kumpulan Shababul Islam. Tidak ketinggalan kumpulan Read-One yang tampil dengan dua buah lagu iaitu “Dia Kekasih Allah” dan “Insan Cemerlang Ummah Terbilang” manakala kumpulan Mujahideen pula telah mempersembahan lagu “Selawat Burdah” dan “Ku MilikMu”.

Malam pertandingan yang gilang-gemilang itu turut dimeriahkan oleh tiga buah lagu dari artis jemputan iaitu kumpulan nasyid Inteam yang diwakili oleh Saudara Muhammad Hazamin Harun, Saudara Syahril bin Abdul Khalid dan Saudara Abdul Rahim bin Osman yang telah mengalunkan beberapa lagu baru dari album terbaru mereka iaitu album Allahu Rabbi. Memandangkan sebelum mereka mempersembahkan lagu-lagu nasyid mereka, mereka telah memberikan beberapa komen membina kepada para peserta selepas persembahan kumpulan masing-masing, maka dengan persembahan khas mereka ini merupakan satu tunjuk ajar kepada peserta untuk melakukan satu persembahan yang berkualiti dan berkesan.

Malam Inspirasi Seni 2009 diakhiri dengan pengumuman pemenang serta penyampain hadiah oleh tetamu kehormat kepada kumpulan yang berjaya. Tempat pertama telah dirangkul oleh kumpulan In-Saff, diikuti oleh kumpulan Read-One, seterusnya kumpulan Shababul Islam di tempat ketiga dan kumpulan Mujahideen di tempat keempat . Majlis ditangguhkan dan menamatkan kempen “Heart for Islam” yang bertemakan “Explore the Divine Beauty” bagi tahun 2009. Diharapkan Malam Inspirasi Seni (MIS) pada tahun hadapan akan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan dari seluruh warga UTP dan melahirkan lebih ramai bakat baru dalam bidang nasyid. Apa yang lebih penting, mesej hiburan yang tidak melampau-lampau adalah dibenarkan di dalam Islam dapat diterapkan dalam kefahaman para penonton yang hadir.

0 comments: