CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday 15 July 2007

Solat di Angkasa

salam keangkasaan...

inilah yg membanggakan bg umat Islam kerana buat pertama kalinya dikeluarkan fatwa dlm cara2 atau kaedah2 menunaikan rukun Islam kedua iaitu solat lima kali sehari semalam..


berikut dpetik dari Berita Harian..

Buat pertama kali cara beribadah angkasawan didokumentasikan hasil Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa

PENGHANTARAN angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober ini mencatat sejarah kerana buat kali pertama, cara melaksanakan ibadah di angkasa lepas menjadi isu penting.

Sama ada Kapten Dr Sheikh Muszaphar Shukor atau Dr Faiz Khaleed, dipilih sebagai angkasawan, mereka bukan angkasawan Muslim pertama ke angkasa lepas.

Putera Sultan bin Salman dari Arab Saudi, lebih awal mengukir nama dengan menaiki kapal angkasa Discovery pada 1985. Kekayaan pula membolehkan Anousheh Ansari, jutawan wanita Amerika Syarikat yang berasal dari Iran, melancong ke angkasa lepas tahun lalu.

Bagaimanapun, misi negara menjadi sebutan ramai, terutama pihak berkepentingan dalam angkasa lepas kerana isu berbeza, iaitu cara beribadah di angkasa lepas.

Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada April tahun lalu yang bertujuan mengkaji cara beribadah di angkasa lepas mendapat perhatian antarabangsa.

Media massa Barat, termasuk laman web yang melaporkan mengenai seminar ini menimbulkan tanda tanya mengenai cara beribadah di angkasa lepas.


Alan Godlas, Profesor Agama Universiti Georgia, Amerika Syarikat, menimbulkan persoalan penting dalam pelaksanaan ibadah di angkasa lepas, terutama solat.

“Apabila memasuki orbit, kapal angkasa mengelilingi bumi sekali setiap 90 minit. Orang Islam menunaikan solat lima kali sehari berdasarkan kedudukan matahari di angkasa. Inilah cabarannya apabila sehari di angkasa lepas hanya 90 minit,” katanya.


Begitu juga dengan arah kiblat ketika solat, Godlas berkata, ISS yang mengelilingi bumi kira-kira 28,000 kilometer sejam menyukarkan angkasawan Muslim menghadap Kaabah.

Untuk berwuduk, penggunaan air adalah sangat minimum dalam kapal angkasa. Malah dalam keadaan graviti mikro, air tidak jatuh ke bawah. “Bagaimanakah hendak berwuduk dalam keadaan begitu,” kata Godlas.

Berbeza dengan Putera Sultan dan Anousheh, yang melaksanakan ibadah mengikut kemampuan dan pengetahuan masing-masing, Malaysia membuat perancangan teliti mengenai cara beribadah di angkasa lepas.

Segala persoalan daripada individu seperti Godlas, malah seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia dijawab dengan pelancaran Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa terbitan Jakim.

Garis panduan hasil Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa mencatat sejarah kerana buat kali pertama di dunia, cara beribadah di angkasa lepas didokumentasikan.

Merungkaikan segala persoalan mengenai cara beribadah di angkasa lepas, Pengarah Bahagian Penyelidikan Jakim, Anan C Mohd, berkata sudah tentu cara pelaksanaan ibadah tidak sama kerana perbezaan besar antara bumi dan angkasa lepas.

Bagaimanapun, katanya setiap Muslim perlu melaksanakan ibadah seperti solat tanpa mengira tempat mereka berada.

Mengulas arah solat di angkasa lepas, katanya antara syarat sah solat ialah mesti menghadap Kaabah. Bagaimanapun garis panduan memberi beberapa pilihan lain, iaitu unjuran Kaabah, bumi dan mana-mana arah.

“Mengikut tertib, solat mesti menghadap Kaabah. Jika tiada pilihan lain, angkasawan boleh menghadap mana-mana arah. Paling penting ialah solat mesti dilakukan,” katanya.

Anan berkata, semua pihak tahu bahawa kapal angkasa mengelilingi bumi setiap 90 minit atau mengorbit bumi sebanyak 16 orbit sehari. Jika 16 peristiwa siang dan malam berlaku sehari, jumlah solat adalah sebanyak 80 kali.

Dalam satu pusingan, katanya waktu siang adalah 45 minit dan malam juga 45 minit. Tempoh itu perlu dibahagikan kepada lima waktu solat. Jika tidak diikuti dengan betul, waktu subuh hanya seminit,” katanya.

Bagi menyelesaikan persoalan ini, katanya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa solat di ISS dilakukan sama seperti di bumi, iaitu lima kali.

Alasan? Mengambil Kutub Utara sebagai contoh, katanya jika mengikut keadaan di situ yang mengalami peristiwa siang selama enam bulan dan malam selama enam bulan, umat Islam hanya bersolat lima kali setahun.

Merujuk kepada institusi fekah Islam di Makkah, Rabitah al-Alamiyah al-Islami, katanya waktu solat di Kutub Utara diputuskan berdasarkan waktu kawasan paling hampir yang siang dan malam adalah dalam keadaan biasa.

Kaedah sama digunakan untuk menetapkan waktu solat di ISS, iaitu berdasarkan tempat paling hampir, tempat pelancaran kapal angkasa di Baikonur, Kazakhstan.

Dari segi cara solat, Anan memberitahu antara cara yang boleh dilakukan ialah mengikat tubuh pada bahagian tertentu kapal angkasa.

“Ini bukan luar biasa kerana angkasawan mempunyai tali pinggang yang diikat kepada kapal angkasa apabila tidak mahu terapung. Dalam keadaan statik itu, angkasawan boleh menunaikan solat,” katanya.

Masalah air terhad untuk berwuduk diselesaikan dengan bertayammum. Bagaimanapun, katanya tanah atau debu mustahil dibawa ke dalam kapal angkasa kerana faktor keselamatan. Sehubungan itu, angkasawan dibolehkan menepuk dinding, kerusi atau cermin dalam kapal angkasa.

“Walaupun tiada debu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan cara itu kerana tiada pilihan lain,” katanya.

Dalam isu berkaitan, katanya istinjak untuk membersihkan hadas besar atau kecil dilakukan dengan menggunakan kertas tisu.

Sementara itu jika jadual pelancaran kapal angkasa tidak berubah, iaitu 10 Oktober, satu lagi ibadah yang bakal dilakukan angkasawan negara ialah berpuasa.

Anan berkata, Jakim menggalakkan angkasawan negara berpuasa di ISS kerana pengalaman ini sukar dirasai pada masa depan dan pada masa sama, mengetahui persamaan dan perbezaan berbanding berpuasa di bumi.

“Jika memberatkan dan menimbulkan masalah, angkasawan seperti musafir boleh meninggalkan puasa, tetapi perlu menggantikan semula.

Seperti solat, katanya waktu berbuka dan bersahur adalah mengikut waktu tempat kapal angkasa berlepas.

0 comments: